Gelombang Covid-19 yang pada mulanya merebak di bandar Wuhan di China pada awal Disember 2019 telah menular dengan cepat di setiap pelosok dunia, termasuk negeri Sarawak. Wabak tersebut sekali gus menjadikan ia sebagai satu krisis kesihatan awam global yang baharu, lalu diisytiharkan sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Virus ini telah menular dalam kalangan manusia dan berterusan berjangkit melalui hubungan langsung atau tidak langsung, malah dijangkiti apabila mempunyai jarak rapat dengan individu yang disahkan positif melalui rembesan pernafasan atau cecair yang keluar ketika batuk, bersin, atau bercakap.
Susulan berlakunya penularan wabak tidak terkawal ini, ia telah menyebabkan keadaan negara terumbang-ambing dari segi ekonomi dan kestabilan politik akibat penutupan sempadan, berhentinya kegiatan pelancongan, gangguan serta provokasi oleh pihak bukan kerajaan yang mengambil kesempatan dalam kesulitan dan lain-lain.
Disebabkan wabak itu juga, setiap lapisan masyarakat menerima kesan negatif, terjejas teruk dari pelbagai aspek termasuk kesihatan, ekonomi, kegiatan harian dan sebagainya. Hal tersebut turut memaksa masyarakat untuk berikat perut bagi memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan.
Bagaimanapun, kerajaan negeri mengambil tindakan pantas untuk memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjaga. Buktinya, Sarawak berjaya mencapai kadar vaksinasi tertinggi di seluruh Malaysia, sekitar 95 peratus. Langkah ini untuk kepentingan masing-masing agar tidak mudah kalah terhadap wabak pandemik.
Malah, bagi suntikan dos penggalak turut mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat. Seramai 1.6 juta penduduk yang layak mengambil suntikan dos penggalak pertama, manakala 2.4 juta penduduk lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Tuah Sarawak kerana mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat, masyarakat di negeri ini tidak terlalu runsing untuk menempuh liku-liku bersendirian serta dapat bertenang sekurang-kurangnya mengharungi kehidupan sepanjang tempoh Covid-19 dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan.
Di samping utamakan kesihatan dan keselamatan, pelbagai bantuan lain turut disalurkan oleh Kerajaan Sarawak dari segi bantuan kewangan melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kepada rakyatnya, khususnya mereka yang terjejas teruk akibat wabak tersebut.
BANTU RAKYAT BERTAHAN
Atas kebijaksanaan serta keprihatinan kepimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah naungan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau telah mewujudkan sebuah bantuan untuk membantu rakyat ketika musim pandemik.
Pada 23 Mac 2020, BKSS diperkenalkan buat kali pertama kepada rakyat, dan sehingga kini masih diteruskan dengan nilai berjumlah RM6.7 bilion telah dibelanjakan bagi kesemua pakej bantuan yang diberikan.
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan terhadap rakyat, ia telah menyebabkan banyak perniagaan kecil, sederhana dan besar menghadapi kesulitan, sekali gus mengakibatkan ramai orang hilang pekerjaan dan punca nafkah.
Sepanjang tempoh penularan wabak (2020 sehingga kini), sembilan pakej BKSS telah dilaksanakan oleh kerajaan yang dikenali sebagai BKSS 1.0 sehingga yang terbaharu, BKSS 9.0 didedahkan penghujung Ogos lalu.
Bantuan-bantuan tersebut meliputi pelbagai aspek untuk membantu meringankan beban ditanggung oleh individu yang perlu menampung keluarga, bujang, orang tua, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta lain-lain.
Bagi BKSS 1.0 sahaja, RM1.2 bilion diperuntukkan bagi menangani impak Covid0-19. Sejumlah RM97.7 juta dikreditkan kepada seramai 391,037 individu yang layak menerima bantuan, terdiri dari golongan B40. Manakala, pengagihan kepada 15,206 penerima yang tidak memiliki akaun simpanan dibuat melalui pembayaran tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
Dalam pada itu, sejumlah RM3.2 juta turut disalurkan kepada 12,856 individu yang terlibat menjalankan tugas di barisan hadapan termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen, Angkatan Tentera Malaysia dan pihak polis.
Kurang sebulan daripada pemberian bantuan yang pertama, kerajaan negeri terus mengumumkan BKSS 2.0. dengan peruntukan RM1.1 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sedehana (PKS), perusahaan mikro, penjaja serta peniaga kecil, termasuk dana khas RM1,500 kepada 65,000 peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kemudian, diteruskan lagi dengan BKSS 3.0 pada 8 Mei 2020 yang menyediakan dana sebanyak RM300 juta, diikuti RM100 juta lagi pada BKSS 4.0 (23 Oktober 2020). Pada 21 Januari 2021, BKSS 5.0 dilancarkan dengan dana RM500 juta yang turut digunakan untuk membantu mangsa banjir.
Tidak terhenti di situ, BKSS 6.0 menyaksikan peningkatan dana berjumlah RM1.4 bilion pada 29 Mei 2021, serta RM800 juta pada 4 Ogos 2021 bagi bantuan kali ketujuh. Kemudian, pada 12 Oktober 2021, BKSS 8.0 diumumkan dengan peruntukan RM300 juta, merangkumi bantuan kewangan sekali beri (one-off) yang akan disalurkan pada enam bulan pertama tahun 2022.
Atas keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap nasib yang menimpa rakyat, bantuan tersebut terus dilaksanakan sehingga kini, walaupun negara sudah beralih ke pasca pandemik, bergerak ke fasa endemik. Secara ringkasnya, semua bantuan yang diberikan bermanfaat, sesuai dengan keperluan masyarakat.
Lebih 30 inisiatif diberikan termasuk bantuan seperti subsidi air dan elektrik, cukai rumah, sewa premis, insentif kepada petugas barisan hadapan, bayaran balik pinjaman perumahan, bantuan tunai sehingga kawalan harga bahan binaan bagi mengurangkan kesan pandemik yang dihadapi setiap individu atau sektor perusahaan.
Sebelum bertukar tahun baharu, Kerajaan Sarawak juga sempat mengumumkan pakej BKSS 9.0 dengan meneruskan lima aspek iaitu diskaun bil elektrik antara lima hingga 25 peratus serta diskaun 10 hingga 25 peratus bil air bulanan untuk pengguna domestik, komersial dan industri.
Seterusnya, yang ketiga adalah diskaun 25 peratus untuk taksiran kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 dan diskaun 30 peratus untuk kadar cukai pintu tahunan RM400 ke bawah untuk premis kediaman, komersial, industri dan premis pegangan khas, diikuti keempat iaitu diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk peniaga dan penjaja.
Akhir sekali berkaitan dengan bahan binaan tambahan di bawah peruntukan khas untuk variasi harga (VOP) 2.0. Semua bantuan tersebut dilaksanakan bagi tempoh enam bulan bermula Julai sehingga Disember 2022, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1 bilion, termasuk RM700 juta yang dikhususkan untuk golongan kontraktor bagi berdepan masalah inflasi.
Walaupun dalam keadaan sukar, Kerajaan Sarawak sentiasa memikir dan melaksanakan langkah-langkah terbaik untuk membantu rakyat agar dapat menyampaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
KADAR VAKSINASI DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Salah seorang kakitangan barisan hadapan di Pusat Penerimaan Vaksin Stadium Perpaduan Dr Loong Cai Yin sebelum ini mendedahkan bahawa kerja-kerja pemberian vaksin dapat berjalan dengan lancar atas kepimpinan dan dorongan yang baik oleh kerajaan.
Menurutnya, pemberian dos vaksin kepada masyarakat berjaya diberikan sekurang-kurangnya kepada 4,000 orang dalam masa sehari. Atas usaha kerajaan mendapatkan vaksin Covid-19, rakyat tidak perlu menghadapi masalah vaksin tidak mencukupi dan sebagainya.
Untuk rekod, Sarawak menerima vaksin yang pertama pada Februari 2021 dan Abang Johari sendiri menjadi penerima pertama di Sarawak. Ia bertujuan untuk memberi keyakinan kepada rakyat agar tiada kesangsian berlaku supaya pemberian vaksin dapat dijalankan secara lancar.
Setakat Ogos 2021, kerajaan telah memberikan vaksin kepada 1,822,036 individu bagi dos pertama, manakala 1,664,749 untuk dos kedua. Ini sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan mencapai 89.2 peratus untuk dos pertama dan 81.5 peratus untuk individu yang sudah divaksin sepenuhnya.
Malah, bagi mempercepatkan tahap vaksin penuh dalam kalangan masyarakat, kerajaan telah mewujudkan 121 PPV di seluruh Sarawak dengan sasaran menyediakan 50,000 dos vaksin untuk satu hari. Usaha ini penting dalam memastikan rakyat Sarawak mendapat vaksin sepenuhnya bagi membendung penularan wabak Covid-19 daripada menular dengan rancak.
Jika mendedahkan satu per satu, sememangnya Kerajaan Sarawak banyak mengambil tindakan dan langkah-langkah bijak dan pantas dalam memastikan setiap masyarakat dibantu tidak kira dari segi kesihatan, bantuan kewangan dan sebagainya. Melihat kepada usaha kerajaan mengendalikan masalah, khusunya pandemik, dapat dilihat bahawa ia telah diuruskan dengan cemerlang merangkumi setiap aspek.
Comments