Merujuk kepada sebuah artikel yang disiar di portal Suara.TV yang memomokkan rakyat Malaysia seolah-seolah kuasa pengagihan gas yang dipegang oleh Sarawak merugikan negara.
Dalam artikel oleh penulis tidak bernama tersebut juga, beliau membuat tuduhan bahawa Kerajaan Sarawak terkenal dengan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan nepotisme yang menjejaskan pengurusan sumber asli.
Ini bukan sahaja tuduhan yang tidak berasas tetapi juga mencerminkan sifat angkuh penulis dan kumpulan berkepentingan yang tidak memahami, mengiktiraf dan menghormati hak Sarawak.
Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2023 yang merupakan pindaan kepada Ordinan yang sama pada tahun 2016 yang memberi kuasa kepada Kerajaan Sarawak untuk mengurus rantaian bekalan meliputi industri huluan dan hiliran (upstream and downstream).
Dengan Ordinan ini, pengecualian harus diberikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengawal selia pengagihan gas daripada Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961.
Melalui DGO 2023, PETRONAS dikehendaki menghentikan aktiviti jual beli gas asli di Sarawak dengan pelantikan PETROS sebagai Gas Aggregator tunggal.
PETROS bermula 1 Julai 2024 akan membeli gas asli yang dihasilkan di Sarawak dari semua pengeluar gas huluan (upstream) dan menjual gas tersebut kepada semua pembeli gas hiliran (downstream) termasuk loji pemprosesan Gas Asli Cecair (LNG) di Sarawak.
Pelantikan ini memanfaatkan Sarawak kerana ia akan menyumbang sumber pendapatan baharu untuk Sarawak, memberi keutamaan untuk membolehkan pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap dan memastikan peruntukan gas asli untuk kegunaan domestik dan perkembangan industri hiliran adalah mencukupi.
Ini juga untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian pengedaran gas asli Sarawak, memastikan bekalan yang mencukupi dan harga gas asli yang berpatutan untuk pasaran di Sarawak; dan memberi peluang kepada rakyat Sarawak serta syarikat Sarawak mengambil bahagian dalam industri pengedaran gas asli.
Harus diingat bahawa kuasa kawal selia yang dimiliki oleh PETROS hanya terpakai untuk gas yang dihasilkan di Sarawak dan tidak meliputi hasil gas di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Jadi mengapa mahu pertikai hak Sarawak untuk menguruskan sumber asli yang dihasilkan dari tanah Sarawak?
DGO terpakai kerana Kerajaan Sarawak yang mempunyai kuasa ke atas sumbernya telah memperkenalkan satu ordinan untuk mengawal selia sumber tersebut.
Harus diingat juga bahawa sumber yang diperolehi dari Sarawak telah menyumbang jumlah kewangan yang besar kepada negara.
Melalui data awam, sejak 1976 sehingga 2017, Sarawak hanya mengumpul RM33 billion atau lima peratus royalti minyak dan gas daripada jumlah RM550 billion daripada minyak dan gas yang dihasilkan.
Ini bermaksud 95 peratus dari hasil minyak dan gas Sarawak dimanfaatkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menuntut perkongsian pendapatan yang lebih adil melalui pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak lima peratus yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.
Ini membolehkan Sarawak untuk menambah pendapatan negeri dan membiayai projek pembangunan infrastruktur serta melaksanakan inisiatif kebajikan, sosial dan komuniti. Ini juga memberi asas kepada transformasi ekonomi Sarawak yang berlandaskan Strategi Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Dengan DGO serta pelantikan PETROS sebagai Gas Aggregator, ia membolehkan penglibatan yang lebih aktif daripada Kerajaan Sarawak serta syarikat-syarikat tempatan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur gas di Sarawak seperti membina saluran paip ke premis-premis kediaman.
Kerajaan Persekutuan melalui PETRONAS telahpun menjadi Gas Aggregator untuk sekian lama tetapi pembangunan ini tidak dilaksanakan.
Malahan Sarawak pula terpaksa mengemis dengan PETRONAS untuk mendapatkan gas tersebut bagi kegunaan Sarawak kerana PETRONAS memberi keutamaan kepada permintaan dari pihak luar negara.
Melalui persefahaman ini, Sarawak dapat mempelopori aktiviti hiliran (downstream) petrokimia nilai tinggi berbanding sekadar mengeksport hasil minyak dan gas sebagai minyak mentah (crude oil).
Ini adalah salah satu strategi pembangunan ekonomi untuk menjana pendapatan bagi memastikan Sarawak, sebuah wilayah yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sehingga terbina sebuah menara kembar pencakar langit di Semenanjung Malaysia.
Baru sahaja rakyat Sarawak ingin merasai nikmat pembangunan ini, tetapi sudah ada orang luar yang tidak berpuas hati.
Mungkin penulis hantu tersebut bimbang bahawa Semenanjung Malaysia tidak dapat lagi memerah hasil gas Sarawak dan menambah kekayaaan sesetengah pihak berkepentingan.
Ini sehingga terpaksa membuat tuduhan liar seolah-olah pemimpin dan rakyat Sarawak amat bebal dan tidak ada kemampuan untuk menguruskan sumber gas di bumi sendiri.
Monopoli oleh PETRONAS selama ini telah merugikan Sarawak dan mungkin bagi penulis dan sekutu beliau, ini tidak mengapa.
Tetapi apabila monopoli ini dipecahkan, dan kuasa kini dipegang oleh Sarawak, seolah-olah negara akan rugi.
Soalnya, siapa yang tamak dan siapa yang angkuh?
S. Hamid, Kuching
Comments