Negeri Sarawak sinonim dengan perpaduan kerana memiliki pelbagai perbezaan tanpa mengira agama, kaum, bangsa dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, negeri ini juga sering disebut sebagai negeri contoh kepada perpaduan dan keharmonian kaum dan agama di negara Malaysia.
Malah, melalui perbezaan kaum, bangsa dan agama di negeri ini, Sarawak masih bersatu sehingga dapat dilihat rakyatnya hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Melihat sendiri di Sarawak, kebebasan beragama tidak pernah menjadi isu sebaliknya ia dipertahankan malah disambut oleh rakyat Sarawak dengan saling menghormati dan meraikan kepercayaan dan amalan masing-masing.
Tidak cukup dengan itu, keharmonian agama dan berbilang kaum ini diperkukuhkan lagi oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menolak sebarang unsur yang bercanggah dengan jaminan kebebasan beragama.
PENUBUHAN UNIFOR
Sarawak amat bertuah kerana mempunyai Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang menjaga kebajikan agama lain selain agama Islam sekali gus melambangkan keharmonian agama dan perpaduan masyarakat di Sarawak.
Ditubuhkan secara rasmi oleh kerajaan Sarawak pada 27 April 2017, ia merupakan usaha kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan penganut agama lain sentiasa terpelihara.
Menyingkap tujuan penubuhannya sebagai agensi kerajaan negeri, ia merupakan cetusan idea daripada bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Dengan cetusan idea ini, ia menjadikan Sarawak adalah negeri pertama dan satu-satunya di Malaysia yang mempunyai unit khusus yang menjaga hal ehwal bukan Islam.
Dalam erti kata lain, penubuhannya selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam mengamalkan dasar keterangkuman semua kaum dan agama di Sarawak.
GPS DAN UNIFOR
Dalam memastikan Unifor ini dijayakan, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyerahkan unit ini di bawah portfolio dan tanggungjawab Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Misi UNIFOR adalah untuk memupuk dan menggalakkan persefahaman, toleransi, penerimaan, saling hormat-menghormati, dan kerjasama yang lebih baik di kalangan individu yang berlainan agama di negeri ini.
Ia juga memastikan keperluan pelbagai kumpulan agama bukan Islam di negeri ini ditangani dengan berkesan.
Pada masa yang sama, unit ini menyediakan bantuan kewangan dalam pembangunan fizikal pelbagai rumah ibadat di negeri ini, termasuk pembaikan dan naik taraf bangunan, bangunan/bina semula, kelengkapan dan tanah perkuburan.
Di samping itu, sebuah jawatankuasa di bawah UNIFOR juga telah ditubuhkan untuk melihat keperluan sekolah-sekolah mubaligh di Sarawak.
Di samping itu, satu lagi kejayaan bagi UNIFOR ialah penubuhan Kompleks UNIFOR bernilai RM70 juta, yang terletak di sepanjang Jalan Ong Tiang Swee.
Bangunan setinggi 10 tingkat ini akan mempunyai ciri-ciri konsep bangunan hijau dan mempunyai tempat mesyuarat dua tingkat, dewan jamuan yang boleh menempatkan 1,000 orang jemputan, ruang tertutup sebahagian di bumbing dan ruang komersial.
Justeru, kompleks yang dijangka siap menjelang tahun ini, bakal menjadi mercu tanda perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai agama di Sarawak sekali gus akan menjadi wadah kepada ketua-ketua agama berkaitan berkumpul dan berbincang mengenai agama serta cara hidup.
BANTUAN DI BAWAH UNIFOR
Sejak beberapa tahun sejak penubuhan UNIFOR, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana yang mana jumlahnya semakin meningkat setiap tahun bagi membantu agama bukan Islam melalui unit tersebut.
Pada 2017, RM15 juta telah diluluskan untuk UNIFOR, diikuti RM20 juta pada 2018, RM30 juta dan RM50 juta pada 2020 dan tahun lepas 2021.
Bagi tahun ini, UNIFOR memperuntukkan RM24.643 juta untuk membiayai 86 projek di bawah agihan geran Fasa pertamanya.
Memandangkan UNIFOR berfungsi sebagai amanah amal untuk membolehkan badan bukan Islam menjalankan aktiviti mereka, Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian memuji bahawa, “UNIFOR bukan milik kerajaan tetapi ia sebenarnya milik semua agama lain.
“Penubuhan ini mencerminkan bahawa pada masa hadapan, badan dan rumah ibadat bukan Islam mempunyai dana untuk menjalankan aktiviti mereka sendiri,” katanya.
PREMIER DAN UNIFOR
Memetik kenyataan Premier Sarawak, beliau menyatakan bahawa dasar inklusif, kebebasan beragama, dan budaya, telah menjadi ramuan yang sebati dalam kejayaan
negeri bagi mewujudkan masyarakat berbilang kaum yang harmoni dan bersatu padu di Sarawak.
“Saya rasa semua agama harus mempunyai disiplin dan berusaha mendekatkan diri dengan Tuhan dan manusia. Itulah sebabnya sebagai pemimpin dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), kami berpegang teguh kepada dasar ini.
“Saya merasmikan majlis pecah tanah masjid yang menelan belanja kira-kira RM10 juta di Belaga. Adakah anda tahu siapa yang memohon masjid itu? Ia adalah Datuk Liwan Lagang, Adun Belaga. Beliau bukan beragama Islam tetapi beliau menyatakan untuk membina masjid di Belaga untuk masyarakat Islam.
“Itulah keindahannya — seorang bukan Islam yang menjaga kebajikan orang Islam. Sudah tentu, kami telah membina sebuah gereja bernilai RM10 juta juga di Belaga. Itu adil — RM10 juta untuk sebuah gereja dan RM10 juta untuk sebuah masjid. Kami adil.
“Itulah keindahan yang ada di Sarawak dan kita mesti menjaga keindahan ini,” katanya.
Comments