0

Pada tanggal 14 Disember tahun lalu, satu detik sejarah tercipta apabila buat julung kalinya Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Rang undang-undang itu memperoleh sokongan 200 ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Walaupun seramai 20 Ahli Parlimen tidak hadir pada undian bacaan kali kedua, manakala 21 tidak hadir pada bacaan kali ketiga, tiada yang tidak menyokong rang undang-undang itu selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.

Pindaan itu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia akan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia sekali gus menyaksikan MA63 diletakkan setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957.

Pindaan itu menyaksikan perubahan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, yang meminda Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor serta Terengganu; dan negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Lebih penting lagi, perubahan kepada perlembagaan persekutuan juga akan menyaksikan takrifan semula ‘persekutuan Malaysia’ untuk memberi pengiktirafan kepada MA63.

“Apa yang kami lakukan di sini adalah untuk meletakkan MA63 dalam Perlembagaan menjadi Malaysia yang sebenar dalam konteks tiga perjanjian – Perjanjian Persekutuan 1948, Perjanjian Persekutuan 1957 dan MA63.

“Ia memberi maruah kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia, yang kemudiannya mewujudkan negara ini,” kata Wan Junaidi.

Parlimen Malaysia

KEPUTUSAN PINDAAN

Berikutan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Rang Undang-undang berkenaan, ia telah membantu Sarawak mendapatkan semula haknya di bawah MA63 yang lama terhakis selama ini.

Usaha ini telah banyak membantu negeri Sarawak dalam mengembalikan kuasa autonomi negeri ini.

Ia telah melibatkan pindaan kepada Perkara 161A(6) dan Perkara 161A(7) memperuntukkan bahawa takrifan kaum asal di Sarawak tidak lagi tertakluk kepada peruntukan di bawah perlembagaan persekutuan, dan sebaliknya boleh ditentukan oleh kerajaan Sarawak.

Selain itu, ia juga melibatkan pindaan kepada empat perkara, iaitu pertama, peruntukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan; kedua, tafsiran “the Federation” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga, tafsiran baharu “Malaysia Day” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan keempat, peruntukan perenggan (a) Fasal (6) dan Fasal (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan.

PREMIER PERTAMA DI MALAYSIA

Beberapa hari selepas pindaan perlembagaan berkuat kuasa, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan beberapa pindaan Perlembagaan Negeri Sarawak pada 15 Februari.

Antaranya ialah menukar istilah ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ dan juga istilah Timbalan Ketua Menteri’ kepada ‘Timbalan Premier’.

Pindaan itu berkuat kuasa pada 1 Mac, berikutan pewartaan Ordinan Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022.

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang membentangkan Rang Undang-undang itu di DUN, pindaan Perlembagaan Persekutuan mengembalikan semangat asal MA63 apabila Sarawak bersetuju untuk menyertai pembentukan Malaysia, di mana statusnya sebagai salah satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak) harus dikekalkan.

Gelaran Ketua Menteri ditukar ke Premier

Justeru katanya, ia meletakkan Sarawak sebagai satu daripada tiga wilayah dan menganggap statusnya tidak sama dengan negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau juga berkata seperti yang diamalkan di wilayah Komanwel lain di mana penubuhannya serupa dengan Malaysia, Ketua Persekutuan dirujuk sebagai ‘Perdana Menteri’, dan Ketua Wilayah yang membentuk Persekutuan dirujuk sebagai ‘Premier’, manakala negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri.

Oleh itu, beliau berkata perubahan itu akan menggambarkan status Sarawak sebagai berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan.

USAHA UNTUK MENGEMBALIKAN HAK SARAWAK DITERUSKAN

Berikutan pindaan perlembagaan ini, terdapat gesaan agar Sarawak memperjuangkan lebih banyak kuasa autonomi memandangkan perkara yang melibatkan kepentingan dan hak rakyat Sarawak mesti diutamakan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memberi jaminan bahawa usaha untuk mengembalikan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan MA63 akan diteruskan, dan beliau juga berkata Sarawak – sebagai salah satu wilayah yang membentuk Malaysia – akan terus kekal dalam Persekutuan.

Menurutnya, kebanyakan syarat dalam MA63 telah terhakis dan rundingan sedang dijalankan antara kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak untuk mengembalikan hak negeri Sarawak.

Menafikan cadangan Perjanjian Malaysia baharu, Premier Sarawak turut menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 yang dipersetujui oleh nenek moyang dahulu adalah “dokumen asas yang membawa kepada pembentukan sebuah negara”

“Apa yang dicadangkan oleh Tok Mat (Timbalan pengerusi Barisan Nasional BN Datuk Seri Mohamad Hasan) tidak sepatutnya dibangkitkan.

“Apa yang kita mahu ialah pelaksanaan syarat-syarat yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hasil laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Kami tidak perlu membuat perjanjian baharu. Jika itu perjanjian baharu, ini bermakna anda membatalkan perjanjian lama. Jika anda membatalkan perjanjian lama, maka pembentukan Malaysia akan boleh dipersoalkan,” katanya.

WAKIL DI LHDN

Membicarakan mengenai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula, pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia 1995 (Akta 533) yang telah diluluskan oleh kabinet jelas menunjukkan satu lagi pencapaian Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

LHDN Malaysia

Susulan kelulusan pindaan ini pada 30 September lalu, ia mampu memberi peluang kepada Kerajaan Sarawak dan Sabah untuk melantik wakil dari negeri masing-masing untuk menganggotai lembaga pengarah dalam LHDN.

Tambahan pula, pelantikan wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak ini dilihat selaras dengan semangat MA63 yang diperjuangkan.

Susulan itu, Abang Johari telah menamakan Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, mewakili negeri sebagai ahli Lembaga Pengarah LHDN.

Katanya, Wan Lizozman sesuai atas kebolehan dan pengetahuannya sebagai individu profesional dalam bidang itu.

“Apabila terdapat wakil Sarawak dalam LHDN, sekurang-kurangnya kita tahu fakta dan angka pendapatan negara serta jumlah nilai yang disumbangkan oleh negeri ini.

“Dari situ juga, kita boleh menghasilkan formula yang munasabah dan bersesuaian berhubung pengagihan geran kepada negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata rundingan berhubung pemberian geran khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan antara kerajaan Sarawak dengan Persekutuan akan menjadikan formula semakan Pemberian Khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan perkara lain yang berkaitan dapat dibincang dan dipersetujui.

Seterusnya ia dapat memastikan pemberian khas kepada Sarawak dapat diagihkan secara adil dan saksama.

KERAJAAN GPS VS KERAJAAN PH

Mengimbas kembali ketika Pakatan Harapan (PH) diberi kuasa untuk mentadbir Malaysia, ramai yang melihat bahawa sepanjang 22 bulan pemerintahan mereka (PH), entiti ini gagal menunaikan kehendak dan keperluan rakyat khususnya keperluan ekonomi dan sosial rakyat Sarawak.

Ia boleh dilihat apabila kerajaan PH hanya membuat keputusan yang menguntungkan pihak Semenanjung Malaysia sedangkan Sarawak amat memerlukan perkhidmatan dari segi penjagaan kesihatan, jalan raya, sekolah dan sebagainya.

Lebih memburukkan keadaan, banyak projek yang diluluskan di Sarawak telah dibatalkan semasa pemerintahan PH ketika itu.

Keadaan ini seterusnya telah membuka langkah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membelanjakan peruntukan mereka sendiri bagi meneruskan serta melaksanakan beberapa projek di negeri ini.

Sememangnya usaha GPS ini sinonim dengan slogan ‘Sarawak First’ dan misi utama mereka untuk sentiasa melindungi hak rakyat Sarawak, mengutamakan rakyat serta memastikan pembangunan negeri berjalan lancar.

Justeru, dalam usaha melindungi hak rakyat Sarawak yang bukan sekadar membangunkan negeri ini, kerajaan Sarawak di bawah GPS akan meneruskan perjuangan untuk mempertahankan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini menunjukkan segala usaha yang dilakukan di bawah pimpinan GPS adalah signifikan kerana mampu mengembalikan hak Sarawak yang telah terhakis sejak sekian lama.

GPS bantu anak muda beli rumah sendiri

Previous article

Potensi Sarawak dalam industri minyak dan gas direalisasikan oleh GPS

Next article

You may also like

Comments

Leave a reply

Your email address will not be published.

More in Home