0

Sejurus sahaja pengumuman penting berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diumumkan pada 20 Oktober lalu, semua harga tiket penerbangan dikatakan meningkat. Ia sudah dijangka berlaku kerana mereka yang berada di luar negeri masing-masing perlu membeli tiket pulang untuk melangsungkan tugasan mengundi.

Secara umumnya, syarikat penerbangan menggunakan mekanisme yang dikenali sebagai Harga Dinamik bagi menetapkan harga tiket. Ekoran itu, harga tiket yang ditawarkan sentiasa berubah-ubah mengikut tawaran (supply) dan permintaan (demand) daripada pengguna.

Justeru, harga tiket akan menjadi lebih mahal kerana kadar pembelian dalam kalangan pengguna meningkat. Malah, boleh mencecah empat hingga lima kali ganda harga yang ditawarkan pada hari biasa. Tidak mustahil untuk seseorang individu perlu membayar RM1,000 untuk seorang, hanya bagi tujuan pergi dan balik untuk mengundi.

Disebabkan peningkatan harga tiket yang mendadak, ramai juga yang mendakwa bahawa pihak syarikat penerbangan cuba untuk mengambil kesempatan meraih untung yang besar terhadap rakyat yang perlu pulang bagi menunaikan amanah sebagai seorang pengundi.

Apatah lagi mereka, khususnya belia yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) atau mereka yang baru sahaja mendapat tawaran bekerja di luar Sarawak. Sudah tentu memberi kesan kepada golongan ini kerana terpaksa menanggung perbelanjaan yang tinggi sehingga membebankan mereka.

Jika melihat kepada komen orang ramai dalam platform media sosial, ramai yang mengeluh kerana tidak dapat pulang mengundi akibat kenaikan harga yang terlalu membebankan. Ramai yang meluahkan kekecewaan terhadap peningkatan harga tiket yang saban hari semakin bertambah mahal.

Tambahan pula, keadaan ekonomi yang tidak menentu serta situasi masyarakat yang baru sahaja perlahan-lahan kembali pulih akibat terjejas oleh pandemik Covid-19 pasti membuatkan mereka berfikir dua kali untuk menghabiskan wang membeli tiket semata-mata untuk mengundi pada 19 November kelak.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak menerusi pemimpin-pemimpin di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut bersuara dalam memastikan perkara ini dapat diselesaikan. Bukan demi meraih undi daripada masyarakat, tetapi supaya perjalanan sepanjang menuju PRU-15 dapat dilaksanakan dengan lancar, adil dan saksama.

Harga tiket penerbangan Kuching – Miri mencecah RM700 ke atas untuk seorang

RUNDINGAN, KOMITED TURUNKAN HARGA TIKET

Baru-baru ini, Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk tidak menyediakan subsidi kepada rakyat luar negeri Sarawak, termasuk pelajar bagi tujuan pulang mengundi pada PRU-15 yang berlangsung pada 19 November kelak. Ia berikutan tindakan tersebut boleh menyalahi undang-undang pilihan raya.

Dalam kata lain, subsidi tidak boleh diberikan kepada orang ramai bagi mengelakkan segelintir pihak yang menyalahtafsirkan bantuan tersebut sebagai langkah membeli undi (rasuah) dan mengelak kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya yang mana rakyat dibayar untuk turun mengundi.

Justeru, inisiatif lain dilakukan bagi menangani masalah tersebut. Sebaik sahaja masalah kenaikan harga tiket berlaku ketika musim pilihan raya, ia mendapat perhatian daripada pemimpin tempatan dan pelbagai tindakan dilakukan untuk memastikan harga tiket berada dalam julat yang mampu milik.

Tiada pihak yang ingin melihat rakyat terbeban dengan perbelanjaan kos yang tinggi ketika musim mengundi kelak. Oleh itu, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) telah membuat perbincangan terhadap beberapa syarikat penerbangan melibatkan perjalanan pergi dan pulang Semenanjung Malaysia-Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Lee Kim Shin telah membuat permohonan agar pihak berkaitan menyediakan lebih banyak penerbangan tambahan atau menggunakan pesawat yang lebih besar khasnya untuk laluan ke Sarawak semasa PRU-15.

Menurutnya, dirinya secara peribadi telah menghubungi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk meminta syarikat penerbangan itu mempunyai penerbangan tambahan atau menggunakan pesawat yang lebih besar seperti Airbus A350 yang boleh membawa antara 300 hingga 400 penumpang.

“Kementerian saya juga telah menulis secara rasmi kepada MAVCOM dan semua syarikat penerbangan berhubung permintaan ini. Tiba masa untuk mereka melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan memainkan peranan
sebagai pemudahcara agar orang ramai dapat bergerak dengan lancar ketika musim pilihan raya nanti,” katanya ringkas.

Menerusi usaha ini, dapat dilihat bahawa ia mampu membantu mengurangkan tambang penerbangan, di samping mengelakkan perbelanjaan yang besar dalam kalangan pengundi. Pada masa sama, sudah tentu pengundi dapat menunaikan hak demokrasi yang dikembalikan kepada mereka untuk mengundi pada PRU-15 akan datang.

Sementara, Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof turut tegas bersuara agar pihak syarikat penerbangan membuat tawaran yang sesuai bagi memudahkan urusan pengundi menjalankan tanggunjawab masing-masing.

Menurutnya, beliau sangat mengalu-alukan tindakan Malaysia Airlines (MAS) yang ingin menawarkan diskaun kepada mereka yang ingin pulang mengundi. Justeru, syarikat lain perlu melakukan perkara yang sama demi membenarkan orang Sarawak di luar negeri ini berpeluang untuk pulang bagi menentukan pembentukan kerajaan akan datang.

Manakala, Menteri Pelancongan, Seni Kreatif dan Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah turut menyeru agar langkah sesuai diambil bagi menangani isu kenaikan harga tambang yang dihadapi pengundi yang berada di luar kawasan mengundi.

“Pelbagai rayuan telah dikemukakan oleh pemimpin dari Sarawak kepada Mavcom berhubung aduan kenaikan harga tiket kapal terbang baru-baru ini. Jadi sekarang, kita menunggu tindakan Mavcom yang akan menentukan harga tiket bersama-sama operator penerbangan.

“Mereka akan mengambil langkah yang diperlukan bagi menentukan harga atau jumlah penerbangan supaya dapat turun kepada harga minima untuk memudahkan rakyat Sarawak pulang mengundi,” katanya ringkas.

TERKINI… harga tiket Kuala Lumpur – Kuching pada 18 November terkawal

PESAWAT BERTAMBAH, HARGA TIKET MENURUN

Hasil usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri dilihat berjaya membuahkan hasil susulan beberapa hari ini, orang ramai dikhabarkan dengan pelbagai berita yang menggembirakan agar berpeluang pulang pada musim pilihan raya ini.

Antara yang paling ketara adalah dari segi penambahan bilangan pesawat digunakan untuk pengangkutan dari Semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur dan sebaliknya. Bukan itu sahaja, penerbangan tambahan juga dirancang menuju ke destinasi terpilih di Malaysia Timur di bawah program Perkhidmatan Udara Luar Bandar.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Mavcom, semua syarikat penerbangan tempatan sedia membuat perancangan untuk menambah bilangan pesawat bagi membantu orang ramai pulang mengundi. Setakat ini, sebanyak 68 penerbangan tambahan dirancang untuk penerbangan dalam Malaysia.

Malah, MAS turut merancang untuk meningkatkan kapasiti ke destinasi-destinasi utama menggunakan pesawat Airbus A330 yang memiliki ruang yang luas bagi menampung permintaan tinggi semasa tempoh PRU-15.

Dari aspek harga tambang penerbangan pula, Mavcom mendedahkan bahawa purata harga tiket bagi laluan udara antara Semenanjung Malaysia dengan Malaysia Timur kini berada dalam lingkungan RM188 dan RM296. Tidak terhad kepada itu, syarikat penerbangan turut memperkenalkan promosi dan melancarkan diskaun kepada para pengguna termasuk skim diskaun untuk pelajar yang mahu pulang mengundi.

“Selain itu, syarikat penerbangan yang menawarkan harga tambang melebihi harga purata turut digesa untuk menambah lebih banyak kapasiti penerbangan di laluan-laluan udara yang beroperasi semasa tempoh PRU-15 diadakan agar harga tiket dapat dikawal secara berpatutan,” katanya.

LALUAN UDARA… Pesawat penerbangan bertambah menjelang PRU-15

MA63 rights restored by GPS government

Previous article

Youth empowered under GPS government

Next article

You may also like

Comments

Leave a reply

Your email address will not be published.

More in Home