0

KEMAJUAN tidak seharusnya bergantung kepada lokasi-lokasi tumpuan sahaja, tetapi merangkumi semua kawasan yang wujud dalam sesebuah negeri dan negara. Setiap lapisan masyarakat di negara ini layak menerima segala manfaat daripada kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi melancarkan urusan harian rakyat.

Ia termasuk kawasan-kawasan pedalaman yang terletak jauh dari bandar. Berbanding dengan mereka yang duduk di luar bandar, jelas bahawa masyarakat yang tinggal di kawasan bandar sememangnya menikmati segala kemudahan yang diberikan oleh kerajaan dari segi kemudahan jalan raya, infrastruktur, telekomunikasi dan sebagainya.

Sedangkan, masyarakat pedalaman terpaksa berusaha lebih keras untuk menjalani kehidupan seharian. Sebagai contoh, pergerakan ke kebun menggunakan jalan bertanah, malah ada yang tidak dapat dilalui menggunakan kenderaan sehingga memaksa mereka untuk berjalan kaki menuju ke destinasi yang ingin dituju.

Seterunya, apabila memiliki terlalu banyak hasil daripada tanaman, sukar untuk mereka membawa balik kerana terhad untuk membawanya ke satu kawasan ke kawasan yang lain. Hal ini menimbulkan kesukaran dalam kalangan masyarakat khususnya golongan petani yang terpaksa berhadapan cabaran keterhubungan dari segi jalan raya.

Selain itu, bukan sahaja berdepan dengan cabaran infrastruktur jalan, tetapi keterhubungan menerusi komunikasi dan capaian Internet. Malah, masyarakat di kawasan sedemikian juga pasti akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan seperti perbankan, aktiviti perniagaan, khidmat penyelamat dan lain-lain. Kemudahan-kemudahan yang penting ini kebanyakan tidak tersedia di kawasan seperti ini.

Semua yang disenaraikan tersebut sudah menjadi satu keperluan bagi mereka yang berada di kawasan bandar kerana mampu memudahkan aktiviti masyarakat. 

Justeru, menerusi kebijaksanaan pemimpin Sarawak, kerajaan telah memperkenalkan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun 2015. Sehingga kini, ia telah menjadi sebuah inisiatif yang penting dalam usaha mempercepatkan pembangunan kawasan luar bandar di Sarawak, khususnya.

Antara yang difokuskan adalah pembinaan infrastruktur asas, utiliti termasuk komunikasi serta kebajikan kepada rakyat setempat. Pada masa sama, inilah usaha dan agenda kerajaan iaitu untuk mengubah kedudukan Sarawak sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

Selain itu, ini adalah hasrat kerajaan untuk menjamin kehidupan rakyat agar sama-sama dapat menikmati manfaat yang dibangunkan, sama seperti nikmat yang ada di kawasan bandar. 

Antara projek pembinaan jalan raya menghubungkan kawasan pertanian

TRANSFORMASI DEMI RAKYAT DAN NEGERI SARAWAK

Pada tahun 2021, sejumlah RM3.33 bilion telah diluluskan untuk melaksanakan 15,303 projek di bawah program RTP. Melihat kepada statistik tahun lepas, ia menunjukkan bahawa pencapaian projek RTP sudah mencapai kesiapan lebih 75 peratus. 

Bagi memastikan pelaksanaan projek luar bandar yang mementingkan orang ramai ini dapat dilaksanakan, Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU) di bawah Jabatan Premier Sarawak menggunakan satu sistem khas yang dibangunkan iaitu Sistem Pemantauan Projek Transformasi Luar Bandar (RTPMS).

Menerusi sistem ini, ia membolehkan agensi pelaksana memasukkan maklumat projek untuk kelulusan, dan kemas kini status pelaksanaan serta lain-lain maklumat untuk aktiviti pemantauan, sekali gus meningkatkan keberkesanan pemantauan dan pelaksanaan RTP.

Terdapat lima komponen utama yang ditekankan menerusi program RTP iaitu infrastruktur asas, pembinaan bangunan, kemudahan awam, utiliti dan pengindahan alam sekitar demi manfaat masyarakat menerusi projek tersebut.

Dari segi infrastruktur asas, pelbagai perkara dibina baharu, dinaik taraf dan dibaik pulih termasuk jalan raya, lorong, jambatan, jeti, pontoon, tanjakan feri, laluan pejalan kaki, saliran, pembetung, tangki septik, kawalan hakisan pantai dan sungai, tempat letak kereta dan sebagainya.

Melihat kepada pembangunan yang ingin diperbanyakkan di kawasan sasaran adalah kerja-kerja pembinaan atau pembaikan baru balai raya, dewan, rumah ibadat (masjid, surau, gereja, kuil), institusi pendidikan (sekolah, tadika, madrasah), perpustakaan awam, rumah asrama, rumah panjang, medan niaga, pasar, gerai dan sebagainya.

Pembinaan pentas, susur tangan, lampu jalan, perhentian bas, tandas awam, tandas sekolah, paparan digital luar dan bulatan turut dilaksanakan, selain melakukan kerja-kerja pembersihan sungai, pantai, longkang dan tanah sebagai usaha melengkapkan kemudahan awam.

Timbalan Menteri Utiliti Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi teruja projek lampu gelanggang sepak takraw di bawah RTP Dun Pantai Damai sedia digunakan

Bagi utiliti pula, projek berkaitan elektrik, termasuk pendawaian dan sambungan elektrik, pencawang elektrik, lampu jalan, lampu banjir, lampu hiasan dan lampu isyarat serta projek bekalan air seperti sambungan bekalan air, paip, pili bomba, rawatan air dan lain-lain juga dibuat.

Tidak terhenti dengan usaha-usaha tersebut, RTP terusk dilakukan dengan membuat kerja pengindahan dan keselesaan alam sekitar dengan mewujudkan perhentian bas, tandas awam, gerbang, kolam, monumen, tebing sungai, air pancut, paparan digital luar dan juga kerja-kerja pembersihan yang lain.

Semua langkah-langkah tersebut sudah tentu memberi manfaat kepada orang ramai kerana dapat pebagai kemudahan yang disediakan boleh diguna pakai sebaiknya-baiknya. Antara yang sudah siap termasuk jambatan pejalan kaki (Limbang), tar jalan raya di PPWS, pembinaan dewan serbaguna, pembinaan jambatan melintasi Sungai Undop.

Di samping itu, jelas kelihatan bahawa kerajaan negeri komited dalam membawa pembangunan secara menyeluruh di Sarawak. Usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur asas, utiliti, kemudahan sosial dan lain-lain itu adalah untuk membolehkan masyarakat luar bandar menikmati taraf hidup yang lebih baik.

Oleh itu, penting agar kawasan luar bandar mengalami transformasi dalam pelbagai aspek pembangunan melalui peruntukan berbentuk projek ini. Malah, peruntukan RM5 juta diamanahkan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setiap tahun untuk digunakan khusus dalam membangunkan projek di kawasan masing-masing.

PERUBAHAN DRASTIK DIRASAI

Berjayanya projek RTP dijalankan di kawasan-kawasan di seluruh Sarawak telah banyak mengubah landskap pembangunan di negeri ini. Malah, ia turut memberi manfaat kepada masyarakat kerana menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan lengkap untuk digunakan.

Projek RTP bina baharu jalan masuk ke kawasan kampung

Sebagai contoh, projek pembangunan yang berimpak tinggi di Saratok membabitkan pembinaan struktur penahan hakisan di tapak bangunan Persatuan Agama Buddha Saratok. Adun Kalaka Mohamad Duri turut memberitahu bahawa projek tersebut akan dapat memberi manfaat kepada penduduk di situ apabila ia siap kelak.

Manakala, Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii mendedahkan sebelum ini bahawa lebih 40 projek RTP sudah diluluskan untuk dijalankan di kawasan tersebut termasuk naik taraf prasaran sukan, rumah ibadat dan sekolah.

Selain itu, Adun Meradong Datuk Ding Kuong Hiing baru-baru ini juga telah menaik taraf jalan utama menuju ke rumah panjang Ravica Francis, Skim B Meradong di bawah projek RTP dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50,000. Rumah Adam, Sungai Lemanyong turut menerima kerja-kerja penaiktarafan yang berjumlah RM50,000 di bawah projek yang sama.

Di Limbang, sebuah Balai Bomba Mini Pasuka Bomba Sukarela Kampung Pengkalan Madang bernilai RM70,000 dan projek pembinaan Pusat Belia Bersepadu bernilai RM2,000,000 dibina dan sudah siap sepenuhnya agar dapat dimanfaatkan.

Terlalu banyak projek RTP yang telah dilaksanakan di kawasan luar bandar sebagai usaha untuk membawa pembangunan secara menyeluruh ke tempat pedalaman. Semua usaha menaik taraf kemudahan tersebut diyakini membolehkan masyarakat luar bandar menikmati taraf hidup yang lebih baik.

Dapat disimpulkan bahawa projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak menerusi program RTP merupakan inisiatif penting bagi melengkapkan kawasan luar bandar dengan pelbagai infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat. Untuk itu, perlunya sesebuah negeri atau negara memiliki seorang pemimpin yang mampu bekerjasama baik bagi membolehkan projek seumpamanya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Balai Bomba Mini Pasukan Bomba Sukarela Kampung Pengkalan Madang yang menelan kos RM70,000

Sarawak’s potential in oil and gas industry realised under GPS

Previous article

Kerajaan GPS berjaya tangani COVID-19

Next article

You may also like

Comments

Leave a reply

Your email address will not be published.

More in Home