INFRASTRUKTUR merupakan perkara asas yang perlu ada dalam sesebuah negeri atau negara, sebagai satu kemudahan untuk menghubungkan satu lokasi ke kawasan yang lain. Bukan dibina sekadar untuk memenuhi keperluan masyarakat, tetapi turut memberi manfaat serta keselesaan agar perjalanan sepanjang jalan raya lebih lancar.
Sedikit fakta berhubung keadaan geografi di Sarawak, negeri ini merupakan negeri yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 124,450 kilometer². Justeru, logik bahawa negeri ini memerlukan kesalinghubungan (jalan raya) yang baik bagi menghubungkan setiap kawasan yang mempunyai jarak jauh.
Justeru, apabila melihat kepada usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, jelas bahawa beliau mempunyai visi dan misi yang berpandangan jauh dari aspek pembangunan termasuk infrastruktur.
Semua sedia mengetahui bahawa Kerajaan Persekutuan (Barisan Nasional) yang terdahulu telah membantu untuk membangunkan infrastruktur jalan raya di Sarawak menerusi projek seperti Lebuhraya Pan Borneo, Projek Pembinaan Jalan Pesisir, Sistem Transit Aliran Automasi (ART) dan sebagainya.
Bagaimanapun, setelah berlakunya pemindahan kuasa mentadbir dari Barisan Nasional kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 – Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), semua projek tersebut tertangguh dan dibiarkan tergendala.
Projek-projek tersebut bukan sahaja tidak diteruskan oleh Kerajaan PH, malah turut dibatalkan sehingga menyebabkan rakyat menanti-nantikan penyiapan keseluruhan kemudahan yang amat penting untuk tujuan kesalinghubungan.
TEKAD TERUSKAN PEBINAAN JAMBATAN
Susulan itu, Kerajaan Sarawak tekad dan komited untuk meneruskan semula pembangunan projek yang dibatalkan, khususnya bagi pembinaan jambatan pesisir utama di Sarawak iaitu Jambatan Igan, Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Rambungan.
Secara ringkasnya, projek pembinaan jalan pesisir melibatkan 10 jambatan iaitu Batang Rajang, Batang Saribas, Batang Paloh, Muara Lassa, Bintulu-Jepak, Batang Rambungan, Batang Lupar 1, Sungai Sarawak-Sejingkat, Sungai Krian dan Batang Igan.
Panjang keseluruhan pembinaan Projek Jalan Pesisir ini adalah 896 km dengan kos keseluruhan projek bernilai RM5 bilion dan semuanya dijangka siap pada tahun 2025.
Sebelum ini menurut Abang Johari, pembinaan jaringan jalan raya ini di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri iaitu 50-50. Bagaimanapun, ia tidak dapat diteruskan setelah berlakunya pembatalan projek oleh kerajaan pada masa itu (PH).
Sudah menjadi hasrat Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030, justeru usaha-usaha ini dilaksanakan dengan serius agar misi tersebut dapat dicapai. Oleh itu, Premier Sarawak teguh dengan pendirian meneruskan segala pembangunan menggunakan peruntukan dari Kerajaan GPS sendiri.
Meneliti lebih lanjut berhubung tiga jambatan yang dibatalkan (Jambatan Igan, Batang Lupar dan Batang Rambungan) oleh PH sebelum ini, kesemua projek itu merupakan teras dalam melengkapkan kesalinghubungan rangkaian jalan pesisir pantai di Sarawak.
Bagi pembinaan Jambatan Batang Igan yang terletak di Matu, projek tersebut dianggarkan bernilai RM305 juta, mula dibina pada 24 Julai 2020, dengan panjang jambatan adalah 1.8km. Projek tersebut telah diluluskan Unit Perancang Ekonomi (UPE) di Jabatan Perdana Menteri pada 23 Februari 2016, setelah surat rayuan Menteri Kerja Raya bertarikh 24 November 2015 diluluskan oleh Perdana Menteri ketika itu.
Secara faktanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah mendapat kelulusan tapak jambatan lebih awal daripada Badan Perancang Negeri Sarawak (SPA) untuk membina jambatan tersebut lebih kurang 7 km hingga 8 km ke hulu Kg Igan dan kerja-kerja awalan termasuk reka bentuk telah pun siap pada 2016.
Bagaimanapun, pemindahan tapak dilakukan menyebabkan pelaksanaan projek dilewatkan kerana kerja-kerja seperti ukur tanah dan ukur hidrografik, penyiasatan tanah, reka bentuk struktur jambatan, dan sebagainya perlu dibuat semula dengan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.
Oleh itu, projek yang sepatutnya bermula pada 2017 hanya dapat dimulakan pada tahun 2018. Malah, pada 20 September 2017, panggilan tender juga sudah dibuat dan ditutup pada 18 Disember 2017. Pada masa sama, syarikat kontraktor juga telah mendapat kelulusan pada 2 April 2018 daripada pihak Kementerian Kewangan.
TANGGUH DAN BATAL
Malangnya, pada 3 Ogos 2018, Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan PH telah memutuskan untuk menangguh projek tersebut. Malah, ia turut dibatalkan, lalu diambil alih oleh kerajaan negeri demi memastikan rakyat pesisir Sarawak tidak terpinggir daripada arus perdana pembangunan.
Sekiranya projek tersebut tidak diteruskan, ia pasti menyukarkan urusan harian serta memberi kesan dari pelbagai aspek, khususnya kepada mereka yang tinggal di kawasan kampung berdekatan termasuk Daro, Matu, Igan dan sebagainya.
Begitu juga dengan pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang telah dibina pada 17 Disember 2019, turut menerima nasib sama, apabila projek tersebut yang menelan kos RM99 juta dibatalkan. Jambatan sepanjang 560 meter itu penting bagi laluan di jalan pesisir kerana berperanan dalam menghubungkan bahagian selatan dengan utara Sarawak.
Bukan sahaja untuk kegunaan masyarakat yang berada di kawasan sekitar, tetapi juga untuk pelancong tempatan dan luar negeri atau negara yang datang ke sini. Apabila jambatan tersebut siap sepenuhnya, ia dapat memudahkan perjalanan untuk orang ramai berulang-alik dari Kuching menuju Telok Melano, melimpasi Bau, Lundu dan Sematan.
Lokasi-lokasi tersebut berjaya menjadi tempat tarikan pelancong. Justeru, apabila Jambatan Rambungan ini siap, sudah pasti menjadi pemudahcara kepada masyarakat untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju.
RAJA SEGALA JAMBATAN
Beralih kepada pembinaan yang terbesar antara semua projek jambatan di Sarawak, iaitu Projek Jambatan Batang Lupar juga dibatalkan ketika di bawah naungan Kerajaan PH. Projek sepanjang 5.1 km yang menelan RM848 juta ini turut disifatkan sebagai Raja Jambatan apabila siap kelak.
Berhubung pembinaan jambatan itu, ia dijangka siap pada tahun 2025 dengan tujuan memudahkan perjalanan serta menjimatkan masa untuk bergerak. Untuk rekod, jambatan tersebut membabitkan dua komponen menghubungkan jambatan di sebelah Sebuyau sepanjang 3km dan Triso (2.8km).
Sebaik siap, perkhidmatan tiga feri merentasi Batang Lupar akan ditamatkan, sekali gus memberi pengalaman perjalanan lancar kepada pemandu dari Kuching menuju ke Miri merentasi sepanjang kira-kira 900km jarak perjalanan tanpa perlu menunggu feri.
Oleh itu, apabila semua jaringan jalan jambatan ini siap, Sarawak akan memiliki sebuah sistem komunikasi jalan raya secara terus, tanpa perlu menggunakan perkhidmatan feri, selari dengan matlamat Allahyarham Tok Nan, kini disambung Abang Johari.
Selain memberi tumpuan memendekkan tempoh perjalanan, jambatan ini juga dibina agar dapat mewujudkan akses terhadap kemajuan luar bandar, membina jalan terputus (missing link), utamakan keselamatan pengguna jalan raya dan sebagainya.
Setelah Kerajaan PH mengambil alih pentadbiran pada 2018, peruntukan pembinaan jambatan berkenaan telah ditarik balik. Namun, komitmen serta keprihatinan Kerajaan GPS dengan mengambil alih keseluruhan projek berjumlah RM848 juta itu jelas menampilkan kepimpinan berwibawa oleh seorang pemimpin demi mengutamakan kepentingan rakyat.
Comments